KUCHING – Sarawak kini mencuri tumpuan pelabur antarabangsa! Negeri ini semakin menonjol sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi dan mampan, berteraskan sumber tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur perindustrian kukuh.
Perkara ini terserlah semasa kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour, kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching hari ini.
Menurut kenyataan Kedutaan Perancis, pertemuan itu membincangkan kerjasama strategik dalam sektor seperti Pendidikan dan Latihan TVET, industri maritim dan penerbangan, tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas, serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sarawak menawarkan daya saing tinggi melalui sumber tenaga berlimpah, persekitaran politik stabil, serta kedudukan strategik di Pulau Borneo – pintu masuk penting ke pasaran ASEAN – yang memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur jangka panjang.
Kunjungan ini bukan sekadar simbolik, tetapi membuka laluan kepada pelaburan bernilai tinggi yang mampu memperkukuh kemakmuran ekonomi negeri, sambil mempereratkan hubungan dua hala antara Perancis dan Sarawak.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back