Kota Samarahan – Masjid Al-Malik di Taman Uni-Garden Kota Samarahan akan diperbesar dan dinaik taraf, bagi meningkatkan keselesaan penduduk setempat untuk melaksanakan ibadah.
Menurut pihak pengurusan Masjid Al-Malik, kapasiti ruang solat sedia ada hanya mampu menampung lebih 800 jemaah pada satu masa.
Jumlah tersebut tidak mencukupi, terutama ketika Solat Jumaat, Solat Tarawih serta Solat Hari Raya apabila kehadiran jemaah meningkat dengan ketara.
Sehubungan itu, projek pembesaran yang dirancang diharap dapat meningkatkan kapasiti masjid sehingga mampu menampung lebih 1,000 jemaah pada satu masa.
Selain pembesaran ruang solat, projek itu turut melibatkan penambahan beberapa kemudahan lain termasuk pembinaan tempat pengurusan jenazah dan menara, menaik taraf tandas serta penyediaan kemudahan kelas pengajian.
Setakat ini, reka bentuk dan dokumentasi projek telah disiapkan dan pihak pengurusan masjid kini masih menunggu proses kelulusan daripada pihak berwajib.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyatakan kesediaannya untuk membantu serta terlibat dalam usaha merealisasikan projek pembesaran masjid tersebut.
Beliau berharap perancangan projek tersebut dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat agar kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada pihak pengurusan masjid bagi kegunaan pengurusan dan pelaksanaan program di masjid berkenaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back