KUCHING – Semangat kekeluargaan dalam pasukan menjadi tunjang utama kejayaan Kuching City FC ketika mengharungi saingan Liga Super Malaysia musim ini.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, hubungan rapat dalam kalangan pemain serta sokongan padu penyokong, memberi motivasi besar kepada pasukan, terutama apabila beraksi di laman sendiri.
Sokongan tersebut amat bermakna dan pihaknya mahu terus mengekalkan semangat kekeluargaan itu dalam skuad.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pasukan dari Kuching City mampu mengembalikan kemeriahan bola sepak negeri seperti zaman Sarawak FA suatu ketika dahulu.
Katanya, apabila melihat Stadium Negeri kembali dipenuhi penyokong pada setiap perlawanan, ia sekali gus menghidupkan semula suasana meriah bola sepak Sarawak dan Kuching.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pasukan akan kekal fokus dalam mengharungi saingan liga dengan memberi tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa.
Menurutnya, tidak ramai yang benar-benar menyangka pasukan itu masih berada dalam kelompok tiga teratas liga ketika ini.
Akan tetapi, semangat kekeluargaan pasukan termasuk para penykong disifatkan paling penting untuk kelangsungan pasukan itu pada masa yang akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Kuching City menentang Sabah FC di Stadium Negeri, Kuching, malam semalam.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back