ISTANBUL, 3 Mac (Bernama-Anadolu) – Sekatan ruang udara besar-besaran di rantau Teluk susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran, kini mengganggu trafik penerbangan global, termasuk hab transit utama di Dubai, Abu Dhabi dan Doha.
Serangan udara Israel-AS pada 28 Feb menyasarkan lokasi strategik di Iran, manakala balasan Iran menumpukan pada pangkalan tentera dan kemudahan logistik AS di beberapa negara Arab, menyebabkan sebahagian besar ruang udara di Iran, Iraq, Israel, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Syria ditutup, sementara Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi dibuka secara terhad.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengisytiharkan risiko tinggi bagi penerbangan awam di seluruh rantau itu. Ribuan penerbangan dibatalkan, termasuk lebih 2,000 penerbangan ke Timur Tengah pada 1 Mac sahaja menurut Cirium, dan hampir 3,400 penerbangan dibatalkan di tujuh lapangan terbang utama pada Ahad.
Lapangan Antarabangsa Dubai, hab transit paling sibuk dunia dengan 92.3 juta penumpang pada 2024, digambarkan sebagai “kejutan penerbangan paling teruk sejak pandemik COVID-19” oleh portal FlightGlobal. Syarikat penerbangan utama Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad menggantung sebahagian besar operasi, manakala laluan syarikat penerbangan Asia dan Eropah turut diubah untuk mengelak ruang udara yang ditutup.
Situasi itu menimbulkan kesan berantai terhadap kos operasi dan insurans syarikat penerbangan, serta mengancam kestabilan rangkaian penerbangan jarak jauh global.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back