TEHRAN - Iran menegaskan bahawa peperangan yang sedang berlaku dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel hanya akan berakhir apabila serangan ke atas negara itu dihentikan, lapor Anadolu Ajansi (AA) pada Selasa.
Jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baghaei, berkata peperangan itu bukan dimulakan oleh Iran, memandangkan pilihan utama negara ini adalah diplomasi.
Kenyataan itu dibuat di hadapan pemberita di sebuah sekolah rendah yang terjejas akibat serangan AS-Israel di Tehran.
Serangan besar-besaran ke atas Iran dilancarkan oleh AS dan Israel pada Sabtu lepas, yang menurut laporan Iran, mengorbankan hampir 800 orang, termasuk pegawai tentera kanan dan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas rundingan nuklear tidak langsung pusingan ketiga antara AS dan Iran di bawah pengantaraan Oman.
Baghaei menegaskan, tumpuan utama Iran kini adalah mempertahankan negara daripada serangan dan menyeru Majlis Keselamatan PBB serta komuniti antarabangsa untuk campur tangan sebelum peperangan merebak ke kawasan lain.
“Iran telah bersedia berjuang dengan segala kekuatan,” katanya, sambil menambah bahawa mesej yang bercanggah dari dunia luar selama setahun setengah tidak akan mengalih fokus negara daripada mempertahankan tanah air.
Sehingga kini, Iran telah melancarkan 15 gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta aset AS di rantau berkenaan, termasuk di Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.
Kebanyakan negara terbabit mengutuk tindakan Iran itu sebagai tidak wajar.
Sumber: BERNAMA-ANADOLU
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back