Miri – Seorang eksekutif PETRONAS yang berpangkalan di Miri, Franklin George (Gambar: Dua dari kanan), kembali menyantuni komuniti asalnya dengan membuka laluan masa depan kepada belia luar bandar.
Anak Penan dari Ulu Baram itu memulakan kerjayanya bersama PETRONAS pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada pasukan Projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline (SSGP).
Pada tahun 2025, beliau berpindah ke pejabat wilayah PETRONAS Sarawak dengan peranan yang sama dan terus menggalas tanggungjawab dalam inisiatif pembangunan komuniti.
Ketika bersama SSGP, beliau menerajui sebuah inisiatif impak sosial yang membuka laluan pekerjaan kepada belia luar bandar menerusi Program Peningkatan Kemahiran Semula Komuniti (ReCP).
ReCP merupakan latihan intensif jangka pendek untuk belia, melibatkan peserta dari Lawas, Ulu Limbang, Baram, Tinjar, Niah dan Bintulu.
Menerusi program itu, para peserta dilengkapi dengan kemahiran praktikal dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan mereka memasuki alam pekerjaan.
Hasilnya, seramai 73 belia berjaya memperoleh peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan program tersebut.
Mereka kini berkhidmat dengan syarikat industri yang beroperasi di negeri dan negara ini seperti Crocker Engineering Sdn Bhd, Preveld Oil & Gas, Rahabco Engineering & Construction Bhd dan Bintulu Scaffolding Sdn Bhd.
Bagi Franklin, kejayaan program itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan komuniti terhadap masa depan anak-anak mereka.
Sepanjang perkhidmatan bersama PETRONAS mengajarnya bahawa peluang perlu diterjemahkan kepada impak nyata dan diperluas supaya lebih ramai belia mendapat manfaat.
Melalui usaha itu, Franklin terus memainkan peranan sebagai jambatan antara industri dan komuniti pedalaman, memastikan laluan kerjaya menjadi realiti bagi belia luar bandar Sarawak.
Sumber & Foto: PETRONAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back