Kuching – Projek Pusat Seni Persembahan Sarawak yang kini dalam proses pengubahsuaian, telah mencapai tahap kemajuan 29 peratus dan berada lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek berkenaan melibatkan pengubahsuaian bangunan asal Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama dengan kos keseluruhan berjumlah RM247 juta.
Menurut beliau, peruntukan itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf bangunan utama Pusat Seni Persembahan Sarawak serta pengubahsuaian sebuah bangunan lain yang dikenali sebagai ‘Lepau’.
Kerja-kerja ubah suai itu turut melibatkan pembinaan sebuah dewan utama yang mampu memuatkan kira-kira 600 tempat duduk, selain ruang sokongan lain bagi memenuhi keperluan penganjuran pelbagai acara seni dan kebudayaan.
Beliau berkata, projek itu dijangka dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pusat seni persembahan yang moden dan lengkap di Sarawak.
Tambah beliau, pusat tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2027.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media, semasa lawatannya ke tapak projek berkenaan di Kuching, hari ini.
Untuk rekod, lawatan tersebut merupakan yang pertama, bagi meninjau sendiri perkembangan semasa projek itu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back