Petaling Jaya – Persaingan untuk merebut kedudukan lima teratas Liga Super musim 2025/2026 masih terbuka, sekali gus menjadi cabaran buat Kuching City FC (KCFC) untuk terus memperbaiki prestasi.
Ketua jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak berkata, pasukan tidak boleh berada dalam zon selesa memandangkan saingan bagi kedudukan tersebut masih sengit.
Beliau berkata, pencapaian menamatkan saingan di tangga keempat musim lalu menjadi dorongan untuk pasukan meningkatkan mutu permainan pada musim ini.
Akan tetapi, perubahan kedudukan secara mendadak daripada tangga keempat ke juara liga bukan sesuatu yang mudah, ia menuntut proses pembangunan pasukan serta usaha yang berterusan.
Beliau turut menyatakan hasrat pasukan untuk terus menguji kemampuan diri serta memperbaiki pencapaian pada musim ini.
Katanya, perkembangan pasukan setakat ini menunjukkan peningkatan yang jauh lebih baik berbanding musim sebelumnya, namun usaha meningkatkan kualiti permainan tetap perlu diteruskan.
Untuk itu, pasukannya akan kembali menjalani latihan dan bekerja lebih keras bagi memastikan pasukan mampu memperoleh keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Shah Alam, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back