Petaling Jaya – Walaupun terpaksa akur dengan kekalahan selepas menentang Selangor FC pada aksi Liga Super malam tadi, Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak, menyifatkan perlawanan tersebut sebagai petanda positif kepada perkembangan bola sepak tempatan.
Menurut beliau, aksi sengit yang dipamerkan kedua-dua pasukan membuktikan tahap persaingan dalam Liga Malaysia semakin meningkat.
Perlawanan tersebut bukan sahaja memberikan saingan sihat antara pasukan, malah menjadi platform terbaik untuk meningkatkan mutu dan standard liga secara keseluruhan.
Ia sekali gus membuktikan bahawa bola sepak tempatan terus mendapat tempat di hati peminat.
Mengulas lanjut mengenai prestasi anak buahnya, beliau berkata intensiti permainan, disiplin taktikal serta komitmen tinggi pemain sepanjang 90 minit wajar diberikan pujian.
Walaupun beliau berpendapat pasukannya tidak sepatutnya tewas dalam perlawanan tersebut, beliau mengakui pihak lawan berjaya memanfaatkan peluang dengan lebih berkesan.
Katanya, perbezaan utama dalam perlawanan tersebut ialah lawan memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri, selain dibimbing jurulatih yang berpengalaman serta sokongan penyokong yang padu.
Namun begitu, dari segi kualiti, beliau menegaskan kedua-dua pasukan adalah seimbang.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan, terutama dari segi penyudah serta mengurangkan kesilapan mudah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Shah Alam, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back