KUCHING – Pemain industri perhotelan di Sarawak digesa mengambil pendekatan lebih agresif dalam membangunkan hotel baharu khususnya di Kuching, selaras dengan perancangan promosi pelancongan jangka panjang kerajaan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan sektor penginapan perlu bergerak seiring dengan strategi promosi yang telah dirangka untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, dengan kemasukan lebih banyak penerbangan termasuk perkembangan baharu dalam sektor penerbangan seperti Air Borneo, Sarawak dijangka menerima lonjakan ketibaan pelancong dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan hotel tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya perlu diterajui oleh sektor swasta.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara termasuk dalam aspek kelulusan dan perancangan pembangunan, bagi memastikan ekosistem pelancongan negeri terus berkembang secara mampan.
Dato Sri Abdul Karim optimis dengan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, kapasiti penginapan di Kuching dan kawasan lain di Sarawak dapat dipertingkatkan, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab pelancongan dan penganjuran acara utama di rantau ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran tujuh lukisan mural sempena 100 tahun Padungan di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back