PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan hari ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion dan memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa.
Setiap penerima akan menerima RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026. SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung kepada jumlah ahli dewasa yang layak. Contohnya, keluarga dengan suami, isteri dan dua anak dewasa akan menerima RM400, tidak termasuk SARA Bulanan jika layak.
Bagi memudahkan pembelian, kerajaan menambah baik kemudahan dengan meluaskan kategori barangan kepada 15 kategori, termasuk makanan sejuk beku, dengan jumlah barangan yang layak dibeli meningkat kepada 140,000 jenis barangan.
Selaras Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun dan mengurangkan jarak kedai runcit terdekat daripada 10 km kepada 7 km.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan dan FAQ melalui portal rasmi https://sara.gov.my. MoF menasihatkan penerima agar berhati-hati dengan pautan palsu dan penipuan, kerana kementerian tidak akan meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back