MIRI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri, telah menahan sebuah kapal kargo asing semasa menjalankan operasi OP PERMAI 01/19, OP Tiris 3.0, dan OP PELANTAR MERAH 3/2023 di perairan Miri, pada Ahad 8 Feb.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad, memaklumkan bahawa penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia kira-kira pukul 11.32 pagi di kedudukan lebih kurang 3.8 batu nautika barat laut Kuala Baram.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, termasuk gagal mengemukakan dokumen pendaftaran kapal, lesen perkapalan dalam negeri yang telah tamat tempoh, serta peralatan keselamatan berupa rakit keselamatan yang telah melepasi tempoh,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru, terdiri daripada lapan warga Bangladesh dan seorang warga China.
Kesemua kru dan kapal ditahan dan dibawa ke kawasan bersauh perairan Miri pada pukul 2.00 petang untuk siasatan lanjut.
Kepten Mohd Khairol menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi mengekang sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
Beliau menambah, “Setiap vesel yang beroperasi di perairan Malaysia wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja membahayakan keselamatan pelayaran, malah boleh mengancam keselamatan perairan negara.”
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan digalakkan menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-649111, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016, atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back