KUCHING - Kerajaan Persekutuan meluluskan peningkatan peruntukan sehingga 300 peratus bagi kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak pada 2026.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Sarawak diperuntuk RM200 juta di bawah Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera G1-G4, berbanding RM50 juta pada 2025.
Jelasya, peruntukan ini merangkumi 141 kerja penyelenggaraan, termasuk 95 kerja Berkala 'Pavement' bernilai RM174.6 juta dan 46 kerja Berkala Bukan 'Pavement' bernilai RM25.4 juta.
“Keselamatan pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kualiti kerja yang baik bukan sahaja soal prestasi, tetapi juga soal nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di Bawah Program Mempercepatkan Penyelenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Bumiputera G1-G4 Tahun 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
Tegasnya, program ini memberi peluang luas kepada kontraktor kecil tempatan, dengan 385 kontraktor layak terlibat melalui cabutan undi telus, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Nanta juga menekankan integriti dan kualiti kerja sebagai keutamaan, dengan tindakan tegas termasuk senarai hitam bagi kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut standard.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back