KUCHING - Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melaksanakan enam serbuan di beberapa daerah di Sarawak menerusi Op Taring Charlie dari 5 hingga 7 Februari lalu, membawa kepada penahanan lapan individu serta rampasan mercun dan bunga api tanpa permit sah bernilai kira-kira RM3.18 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata dua serbuan di Padawan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 42 tahun bersama rampasan 3,922 unit mercun dan bunga api serta sebuah kenderaan, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1.79 juta.
Tambah beliau, empat serbuan lain masing-masing di Kuching, Serian, Sibu dan Miri turut menahan lima lelaki tempatan berumur antara 22 hingga 70 tahun bersama pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kelulusan sah, melibatkan rampasan bernilai RM1.39 juta.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
PDRM turut menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi undang-undang dan hanya menjual mercun serta bunga api dengan permit yang sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.
Sumber: fb Briged Sarawak PGA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back