SRI AMAN - Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan kes langgar lari di KM7 Jalan Sri Aman, awal pagi tadi, 8 Februari.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Ak Bunyam berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 pagi melibatkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.
Menurut siasatan awal, mangsa dipercayai baru selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan sebelum dirempuh kenderaan berkenaan yang kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.
Pemandu Perodua Kancil, Ranggau Anak Berandal, 46, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sri Aman, manakala isterinya, Chindu Anak Malang, 36, mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di hospital sama.
Polis kini giat mengesan kenderaan terlibat dan menyeru individu berkenaan supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Sri Aman di talian 083-322121 sambungan 238.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: JaPen Simanggang
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back