KOTA SAMARAHAN - Kerjasama erat antara industri, institusi pengajian tinggi, institusi teknikal dan agensi kerajaan dengan sokongan rakan akademik global seperti University of Bristol adalah penting bagi memastikan pembangunan ekosistem semikonduktor Sarawak kekal relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata ia merupakan platform berharga kepada institusi tempatan untuk berinteraksi secara langsung dengan University of Bristol.
Katanya, kerjasama itu juga memberi peluang kepada institusi negeri ini untuk menanda aras kurikulum, meneroka kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan, serta memahami bagaimana universiti terkemuka dunia bekerjasama rapat dengan rakan industri dalam sektor semikonduktor.
Menurutnya. penglibatan tersebut penting kerana ia menghubungkan kecemerlangan akademik global dengan keperluan institusi dan industri tempatan Sarawak, seterusnya memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan dan pembangunan bakat negeri.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus SMD Semiconductor bersama institusi pengajian tinggi, institusi teknikal dan agensi kerajaan dengan kerjasama University of Bristol, di SMD Academy di Kota Samarahan hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Francis Harden Hollis.
Dato Sri Roland Sagah berharap penglibatan berkenaan akan membawa kepada kerjasama yang berterusan dan bermakna, dengan hasil yang jelas dalam pembangunan bakat, penjajaran kurikulum dan penyelidikan gunaan.
Jelasnya, matlamat kerajaan Sarawak adalah jelas, iaitu memastikan pertumbuhan industri semikonduktor Sarawak dipacu oleh bakat anak Sarawak sendiri dan disokong oleh perkongsian global yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pihak berkepentingan yang terlibat untuk berhubung secara aktif dengan University of Bristol.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back