KUCHING - Kerajaan Sarawak menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli di Sarawak (JPIBS) susulan peningkatan kes buli, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, bagi memastikan pendekatan lebih tersusun dan berkesan di peringkat negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata pada 2025, sebanyak 49 kes buli dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan 25 kes dibawa ke mahkamah manakala selebihnya diselesaikan di luar mahkamah atau diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa ini akan memfokuskan kepada persekitaran sekolah terlebih dahulu, sambil mewujudkan agensi peneraju khusus untuk menangani buli di sekolah swasta dan melibatkan tempat kerja serta institusi pengajian tinggi.
“Pelajar perlu yakin setiap laporan akan disiasat dengan adil. Kita juga menekankan peranan pembimbing rakan sebaya sebagai saluran sokongan awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Isu Buli di Sarawak (JPIBS) Bil. 1/2026, di sini semalam.
Fatimah menambah, definisi buli merangkumi tindakan fizikal, lisan, sosial atau dalam talian yang sengaja dan berulang kali menindas mangsa, biasanya disebabkan ketidakseimbangan kuasa.
Kerajaan Sarawak menekankan bahawa usaha menangani isu buli tidak hanya tertumpu kepada mangsa, tetapi turut melibatkan sistem sokongan menyeluruh bagi memastikan persekitaran belajar dan bekerja selamat, tenang dan bebas tekanan.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back