KUCHING — Sarawak mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan 64,295 pelawat dari Singapura sepanjang 2025, jumlah tertinggi setakat ini dan meningkat 5.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), angka itu menyumbang kira-kira RM225 juta kepada penerimaan pelancongan negeri, berdasarkan perbelanjaan purata RM3,500 setiap pelawat.
STATOS memaklumkan pertumbuhan tahun ke tahun itu sahaja menjana tambahan RM15.7 juta kepada ekonomi tempatan, memberi manfaat besar kepada sektor perhotelan, peruncitan dan pengangkutan.
Kuasa beli tinggi pengembara Singapura menjadikan republik itu antara pasaran paling strategik dan menguntungkan untuk Sarawak, dengan impak sebenar dijangka lebih besar.
Pengerusi STATOS, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata peningkatan lebih 4,500 pelawat membuktikan Sarawak semakin menjadi destinasi pilihan utama rakyat Singapura, khususnya untuk percutian hujung minggu yang mudah diakses dan berkualiti.
STATOS, yang beroperasi sejak 2019, terus memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Sarawak, Singapura dan pasaran antarabangsa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back