Kuching – Seramai 150 orang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat diraikan hari ini bersempena Program Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2026 di Kuching.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 2,729 penerima keseluruhan yang layak di seluruh negeri bagi meringankan beban dalam menyambut musim perayaan.
Setiap penerima yang terlibat menerima sumbangan ‘angpao’ bernilai RM100 beserta hamper barangan makanan yang bernilai RM80.00.
Penyampaian sumbangan kepada para penerima telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dalam pada itu, bagi penerima yang tidak berpeluang hadir pada majlis tersebut hari ini, bantuan berkenaan tetap akan disalurkan melalui pengkreditan ke akaun bank masing-masing.
Dato Sri Fatimah, semasa berucap pada majlis tersebut berkata, Program Sejambak Kasih merupakan program tahunan kementeriannya yang dilaksanakan sempena semua musim perayaan utama di Sarawak.
Penganjurannya selaras dengan prinsip inklusiviti yang menekankan agar tiada golongan masyarakat dipinggirkan daripada menerima bantuan sewajarnya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, termasuk ketika musim perayaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back