KOTA SAMARAHAN - Kerajaan mempergiat usaha memastikan penduduk penempatan baharu Kampung Tanjung Bundong Fasa 4 menerima bekalan air dan elektrik yang lebih stabil, dengan bekalan air diberikan keutamaan segera.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, bekalan air akan disalurkan terlebih dahulu sementara projek elektrik dan jalan dilaksanakan secara berperingkat kerana melibatkan aspek teknikal dan kos lebih besar.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang pada Isnin, yang turut disertai Sarawak Water serta beberapa agensi berkaitan bagi menilai perkembangan semasa di kampung berkenaan.
Antara langkah segera dicadangkan ialah pemasangan tangki air sementara di kawasan balai bagi menampung keperluan penduduk.
Menurut Datuk Rubiah, dengan peruntukan sedia ada, kerja pemasangan sistem sementara itu dijangka boleh dimulakan dalam tempoh kira-kira sebulan, dengan harapan penduduk dapat menikmati bekalan air sebelum musim perayaan.
Beliau menegaskan kerajaan komited mencari penyelesaian terbaik, termasuk kaedah luar kebiasaan, demi mempercepatkan penyediaan kemudahan asas di kawasan penempatan baharu.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back