KUCHING - Digital Village Accelerator (DiVA) dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) terus menjadi pemangkin pembangunan bakat digital dan pengukuhan ekosistem startup di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata, program-program itu bukan sekadar membina syarikat, tetapi juga membentuk pengasas menjadi pemimpin yang berdaya tahan, mampu menghadapi cabaran pasaran dan mengembangkan syarikat dengan disiplin.
Katanya, DiVA Kohort 4 telah memberi pengalaman praktikal dalam inovasi model perniagaan, pemasaran, pembentangan dan perlindungan harta intelek, selain pendedahan ke peringkat antarabangsa melalui Startup World Cup 2025 dan Kuching Chapter.
Sementara itu, katanya SaSAR, khusus untuk syarikat Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) dan Vendor Perisian Bebas, menerima lebih 200 permohonan, dengan 22 syarikat dipilih untuk kohort pertama.
Program itu menyediakan bimbingan berstruktur, pendedahan pasaran dan akses pelabur, membina asas kukuh untuk kebolehskalaan dan kemampanan.
Menurutnya, maklum balas peserta menunjukkan kepuasan melebihi 90 peratus, membuktikan program ini berjaya mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk bakat digital berkembang dan syarikat tempatan bersaing di peringkat serantau dan global.
Beliau menyeru kerajaan, sektor swasta dan komuniti terus menyokong komuniti startup tempatan melalui bimbingan, pelaburan dan rangkaian strategik bagi memastikan pembangunan ekosistem inovasi yang mampan.
Dato Sudarnoto berkata demikian pada Pameran Inovasi Syarikat Pemula SDEC 2026 di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back