KUCHING - Syarikat pemula perlu berinovasi serta membangunkan bakat, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi digital kini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata syarikat pemula bukan sekadar penciptaan perniagaan, tetapi merupakan platform untuk pembelajaran, eksperimen dan membangunkan bakat kepimpinan.
Katanya, kementerian itu fokus untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini mempunyai akses kepada pembelajaran berkualiti, yang relevan dengan persekitaran dan menyediakan platform untuk mereka mencapai potensi terbaik.
Beliau berkata, program seperti Digital Village Accelerator (DiVA) dan Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR) menyediakan persekitaran berstruktur yang membolehkan para pengasas berkembang dengan disiplin dan tujuan yang jelas.
Datuk Dr. Annuar menegaskan bahawa inisiatif seperti DiVA dan SaSAR amat kritikal kerana ia melengkapi sistem pendidikan formal dengan menyediakan laluan praktikal untuk inovasi, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Ujarnya, ia merupakan pemudah cara strategik kepada agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dr. Cheong Yaw Liang, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back