KUCHING - Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sekali lagi mencatat kejayaan gemilang apabila dianugerahkan ASEAN Clean Tourist City Award bagi kategori ASEAN Tourism Standards 2026–2028, pengiktirafan berprestij di peringkat ASEAN.
Majlis penganugerahan berlangsung pada 30 Januari di Cebu, Filipina, sempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2026, dihadiri Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Norhayati Bidin bagi menerima anugerah berkenaan.
Kejayaan ini menandakan pengiktirafan pertama DBKU di peringkat ASEAN, sekaligus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan Kuching Utara kekal sebagai bandar pelancongan bersih, selamat, mampan dan berdaya huni.
DBKU sebelum ini turut memenangi anugerah serupa di peringkat kebangsaan bagi tempoh 2022–2024 dan 2024–2026.
Pencapaian berterusan ini bukan sahaja meningkatkan tadbir urus bandar dan kualiti persekitaran, malah menarik minat pelancong serantau, sambil memupuk kerjasama komuniti tempatan dalam mengekalkan kebersihan dan kelestarian bandar.
DBKU merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kuching atas kerjasama dan disiplin, menjadikan bandar raya ini antara destinasi pelancongan terbersih di ASEAN.
Sumber: fb Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back