KUCHING - Dua projek pembinaan jambatan bernilai RM320 juta merentasi Batang Rajang dan Nanga Belawai di Kapit telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh perhubungan luar bandar serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di daerah Kapit dan Song.
Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, berkata projek berkenaan diselia oleh JKR Malaysia dan dibiayai menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
“Pembinaan jambatan ini akan memudahkan mobiliti antara kedua-dua tebing Batang Rajang, sebagai tambahan kepada akses sedia ada melalui Jalan Kapit–Song–Kanowit–Sibu,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek baru-baru ini.
Elvis menambah projek itu dijangka membuka kawasan baharu untuk aktiviti ekonomi di tebing kiri Batang Rajang yang akan dihubungkan ke Beguang di Song dan Sungai Tada di Kanowit, sebelum memperkukuh jaringan ke Merit dan Belaga di bahagian hulu. Proses tender dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2026.
Mesyuarat penyelarasan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit serta ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai dan ADUN Katibas Lidam Assan, selain wakil agensi berkaitan.
Projek jambatan ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan di Kapit, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu untuk penduduk tempatan, sekaligus menjadi langkah penting dalam usaha mempercepat pembangunan luar bandar Sarawak.
Sumber: Sarawak First
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back