KUCHING - Tindakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) membawa isu berkaitan kerangka kawal selia operasi petroleum syarikat itu di Sarawak ke mahkamah menimbulkan spekulasi politik, namun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan Negeri menegaskan mereka membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa sebarang andaian luar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, tindakan PETRONAS adalah inisiatif syarikat sendiri dan bukan kerajaan negeri.
Beliau menegaskan sebarang andaian yang mengaitkan perkara ini dengan campur tangan pihak luar, termasuk Perdana Menteri, perlu diabaikan.
“Kadang-kadang kecurigaan timbul kerana dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74), individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mahkamah mempunyai pengaruh tertentu. Namun, GPS tetap membenarkan mahkamah membuat keputusan secara adil tanpa sebarang tekanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis 'Walk For Health' Bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak, Petra Jaya, pada Ahad.
Beliau juga menasihatkan pihak tertentu di Semenanjung agar berhati-hati dan tidak mengeruhkan keadaan, menekankan bahawa masyarakat Sarawak yang matang sukar dikawal jika suasana politik dicetuskan secara sengaja.
Dalam perkembangan lain Datuk Abdullah berkata, GPS akan terus bertanding di semua kerusi di Sarawak tanpa kompromi dan keputusan muktamad akan ditentukan oleh Yang Dipertua Parti serta Presiden GPS, Datuk Patinggi Abang Johari, bagi memastikan negeri terus maju dan berdikari.
Tambahnya, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetap diteruskan sehingga Pilihan Raya akan datang, selaras dengan pendirian GPS untuk memajukan Sarawak tanpa campur tangan luar.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back