KUCHING: AirBorneo bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan penyediaan waran tiket penerbangan untuk penjawat awam, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, cadangan berkenaan sememangnya berada dalam perancangan syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri Sarawak itu dan tidak menjadi masalah untuk dirundingkan.
“Perkara ini boleh dibincangkan. Kita sedia berunding,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program Walk for Health bersama Premier Sarawak di Taman Botani Sarawak, di sini, hari ini.
Tan Sri Abang Johari turut memaklumkan bahawa AirBorneo dijangka memulakan operasi pesawat jet bermula Julai ini, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan itu memperluaskan laluan ke destinasi antarabangsa termasuk Jepun, Korea Selatan serta negara-negara ASEAN.
Ketika ini, AirBorneo menawarkan perkhidmatan penerbangan ke 21 destinasi, sekali gus memastikan hubungan udara berterusan ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
Untuk rekod, AirBorneo memulakan operasi komersialnya pada 2 Januari lalu selepas mengambil alih operasi daripada MASwings.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back