KUCHING - AirBorneo, syarikat penerbangan milik Sarawak, menawarkan diskaun 20 peratus bagi tempahan tiket sempena musim perayaan Tahun Baru Cina, bagi perjalanan antara 6 hingga 28 Februari.
Promosi ini terbuka untuk tempahan yang dibuat dari 1 hingga 5 Februari, sama ada melalui laman web, pusat panggilan, atau kaunter tiket di lapangan terbang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata inisiatif ini bertujuan memudahkan rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan.
“Diskaun ini menunjukkan komitmen kami untuk menjadikan perjalanan pulang kampung lebih mudah dan mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan media.
AirBorneo kini menghubungkan 21 destinasi di Sarawak dan Sabah, termasuk komuniti di kawasan luar bandar, melalui rangkaian Rural Air Services (RAS) yang kritikal.
Syarikat penerbangan ini juga merancang untuk terus memperluas perkhidmatan bagi menambah keselesaan penumpang.
AirBorneo memulakan operasi komersial dengan penerbangan sulung pada 2 Januari lalu, selepas pengambilalihan daripada MASWings pada 1 Januari.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back