KUCHING – Pembinaan underpass, penambahbaikan persimpangan dan penggunaan lampu isyarat pintar sedang dipertimbangkan bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Matang, selaras pertumbuhan jumlah kenderaan dan ekonomi di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, berkata cadangan ini kini berada di peringkat kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat. Jika dilaksanakan, langkah akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan keberkesanan.
Cadangan lain termasuk laluan alternatif sepanjang 2 kilometer dari Jambatan Tun Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud ke Jalan Segedup, Maong, bagi memberi lebih pilihan laluan kepada pengguna jalan raya.
Bercakap kepada media di sini pada Sabtu, beliau menekankan bahawa peningkatan jumlah kenderaan mencerminkan perkembangan ekonomi dan kemampuan rakyat memiliki kenderaan, namun ia perlu diurus secara sistematik bagi mengurangkan tekanan terhadap infrastruktur sedia ada.
Selain pembangunan fizikal, Sistem Lampu Isyarat Pintar (Smart Traffic Light System) dicadangkan untuk dipertimbangkan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk DBKU dan Majlis Perbandaran Padawan, bagi mengoptimumkan aliran trafik.
Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, polis trafik dan pengguna jalan raya amat penting bagi mewujudkan sistem trafik yang cekap, tersusun dan mesra pengguna.
“Jika semua pihak berhemah dan berdisiplin, masalah kesesakan dapat dikurangkan,” tegas Fadillah.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back