KUCHING - Wanita artisan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, menghasilkan produk tempatan dan membantu menjana pendapatan keluarga serta komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, Women Artisan Leadership Program (WALP) 2026 memberikan platform kepada wanita untuk membangunkan kemahiran perniagaan, rangkaian, kepimpinan dan digital, seterusnya menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.
Ketika merasmikan WALP 2026 di Dayak Chamber Of Commerce And Industry (DCCI) di sini pagi tadi, beliau menekankan, pemerkasaan wanita bukan sahaja memperkukuh keluarga dan ekonomi setempat, malah merupakan pelaburan untuk masa depan negara.
WALP 2026 menyasarkan wanita berumur 18 hingga 60 tahun, termasuk pengamal kraf tradisional, usahawan kreatif, artisan dan pemimpin komuniti kraf, untuk membina keupayaan membuat keputusan serta pemikiran berorientasikan global.
Nancy turut menyeru wanita Sarawak untuk merebut peluang ini, menggunakan latihan, jaringan dan sokongan yang disediakan bagi mengubah kehidupan diri dan keluarga.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah JPW Hanani Sapit, Ahli Majlis Wanita Sarawak Datu Dr. Rashidah Bolhassan, pakar warisan Datuk Dr. Ipoi Datan serta CEO Majlis Kraf Sarawak, Suriya Charles Boas.
Sumber: Jabatan Penerangan Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back