KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini menerima kunjungan rasmi Duta Besar Jepun ke Malaysia, mengukuhkan lagi hubungan strategiknya dengan negara Matahari Terbit itu.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, kunjungan tersebut secara tidak langsung meneruskan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak menerusi pelbagai inisiatif bersama.
Kerjasama itu meliputi pelbagai bidang termasuk akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar, kepimpinan belia serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan sekali gus mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang UNIMAS dalam memperluas jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, penglibatan UNIMAS menerusi pelbagai program bersama Jepun di peringkat global juga turut memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
Selain itu, dari aspek penyelidikan, UNIMAS telah menerima pelbagai geran daripada institusi Jepun bagi menyokong keseluruhan 55 projek penyelidikan yang merangkumi pelbagai bidang.
Sehubungan itu, kerjasama strategik tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan serta jalinan kerjasama yang lebih kukuh antara UNIMAS dan Jepun pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kunjungan Rasmi Duta Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki, di UNIMAS, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back