SRI AMAN – Seorang pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Aariz Abdillah telah menerima jemputan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aariz dipilih selepas mencatat kejayaan cemerlang dalam Global English Language Olympiad of South East Asia (GELOSEA) di Incheon, Korea Selatan, yang sekaligus membawa nama sekolah dan negara ke peringkat antarabangsa.
Beliau diiringi Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid (SPbM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jamal Sabang, dan kedua-dua ibu bapanya.
Menerusi catatan di laman Facebook SMK Sri Aman, pihak sekolah memuji kejayaan Aariz yang bukan sahaja mengharumkan nama SMK Sri Aman tetapi juga menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sekelas dan seluruh warga sekolah untuk terus percaya kepada potensi diri masing-masing.
SMK Sri Aman turut merakamkan penghargaan kepada semua guru atas dedikasi mereka dalam mendidik dan membimbing pelajar, serta kepada ibu bapa Aariz yang sentiasa memberikan sokongan padu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back