SIBU - Rakyat Sarawak diingatkan supaya terus mempertahankan maruah negeri yang kini semakin dihormati hasil pembangunan mampan dan kepimpinan berwawasan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata Sarawak hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lalu, menjadi tumpuan dan contoh kepada negeri-negeri lain.
Beliau menekankan kemajuan negeri bukan sekadar diukur dari kekayaan, tetapi juga melalui maruah, kestabilan, perpaduan dan rasa hormat.
“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pendidikan, termasuk pemberian wang saku RM1,200 kepada semua pelajar universiti anak Sarawak tanpa mengira latar belakang,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sibu di sini, hari ini.
Dalam sektor kesihatan, Dr Sim berkata Sarawak mencatat kemajuan melalui pembangunan inovasi perubatan dan penglibatan pakar tempatan, sambil menyokong usaha menjadikan negeri ini hab pendidikan dan kesihatan serantau.
Beliau turut menekankan pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai amanah penting, menjadi penghubung antara masyarakat dan kerajaan, serta cerminan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back