KUCHING – Kolej Universiti i-CATS terus memacu pendidikan dan penyelidikan angkasa lepas melalui projek CubeSat.
Felo Penyelidikan dan Pensyarah Kolej Universiti i-CATS, Ir. Norhizam Hamzah berkata projek CubeSat menggabungkan pengajaran teori dengan aplikasi kejuruteraan praktikal.
Beliau dalam kenyataan hari ini memberitahu, pelajar terlibat secara langsung dalam reka bentuk, pemasangan, ujian, dan pengurusan operasi satelit, seterusnya membangunkan kompetensi dalam kejuruteraan sistem, elektronik dan teknologi digital, integrasi perisian, komunikasi radio, analisis data, dan perancangan misi.
Jelasnya, pendekatan berasaskan projek itu juga mengukuhkan pemikiran kritikal, kebolehan menyelesaikan masalah, dan kerjasama antara disiplin, yang penting dalam sektor aeroangkasa dan teknologi masa kini.
Menurut Norhizam, projek CubeSat membolehkan pelajar mengalami keseluruhan kitar hayat pembangunan satelit, dari reka bentuk konseptual hingga pelaksanaan operasi.
Pendedahan secara langsung itu meningkatkan kecekapan teknikal, disiplin profesional, dan kesediaan mereka untuk memasuki industri.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kerajaan negeri memperkenalkan penggunaan teknologi CubeSats sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan pintar dan bersepadu negeri dalam pendidikan, pengurusan sumber alam, dan keselamatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back