KUCHING - Sarawak kini berada pada fasa penyediaan bakat dan kepakaran sebagai asas kepada pembangunan industri aeroangkasa negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran sebelum industri berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Katanya, Sarawak kini sedang mewujudkan persekitaran bagi melahirkan individu berpendidikan dalam bidang aeroangkasa, namun akademik semata-mata tidak mencukupi.
Menurut beliau, graduan aeroangkasa perlu diperkasakan dengan latihan peningkatan kemahiran agar mereka bukan sahaja berperanan sebagai penyelidik atau jurutera, malah mempunyai keupayaan praktikal yang memenuhi keperluan industri.
Jelasnya, amalan tersebut selari dengan negara maju yang mewajibkan latihan kemahiran bagi graduan sebelum mereka melangkah lebih jauh dalam industri aeroangkasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Mengulas sasaran menjelang 2030, Dato Sri Roland Sagah berkata Sarawak berada di landasan yang betul dengan beberapa institusi pendidikan telah memulakan program berkaitan.
Ujarnya, sebahagian institusi sudah mengambil langkah awal dan menjelang Februari ini, Sarawak dijangka melahirkan graduan dalam bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih Pesawat (MRO) bagi memenuhi keperluan sektor penerbangan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back