PETALING JAYA - Kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 hari ini secara kolektif dan sukarela meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu dibuat sebulat suara sebagai langkah berhemah dan berprinsip demi menjaga reputasi serta integriti badan induk bola sepak negara, susulan situasi semasa yang menarik perhatian umum.
Menurut beliau, tindakan berkenaan bertujuan menegakkan tadbir urus yang baik, memastikan akauntabiliti, serta memulihkan keyakinan penyokong, pihak berkepentingan dan komuniti bola sepak Malaysia.
Peletakan jawatan itu juga membuka ruang kepada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menilai serta meneliti isu berkaitan tadbir urus dan pentadbiran FAM tanpa sebarang konflik persepsi.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman akan terus mengendalikan operasi harian, sementara FAM dijangka mengadakan Kongres Pemilihan bagi melantik barisan Jawatankuasa Eksekutif baharu.
Isu berkenaan berpunca daripada tindakan disiplin FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain berkaitan kes kelayakan pemain dalam aksi Kelayakan Piala Asia AFC 2027, yang kini sedang melalui proses perundangan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back