KUALA LUMPUR - Inisiatif subsidi kerajaan terbukti berjaya menstabilkan harga tiket penerbangan sempena musim perayaan, khususnya bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau menjelaskan, campur tangan kerajaan melalui penetapan harga maksimum tambang penerbangan membantu rakyat, terutama anak perantauan, pulang ke kampung tanpa kos tinggi ketika tempoh permintaan puncak.
Jelasnya, subsidi ini menanggung perbezaan harga bagi tiket yang sepatutnya melebihi RM499 sebelum cukai.
“Dengan intervensi dua tahun kebelakangan ini, kita tidak lagi mendengar harga tiket melambung hingga lebih RM1,000 untuk sektor balik ke Sabah dan Sarawak,” kata Loke pada sidang media selepas melancarkan kempen “Fixed Fares for Your Reunion” oleh Batik Air.
Tambahnya, kerajaan membelanjakan lebih RM20 juta setahun untuk skim ini, tertumpu pada penerbangan sehala Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, manakala laluan sebaliknya tidak tertakluk harga maksimum.
Pihak syarikat penerbangan turut menambah kapasiti penerbangan bagi menampung permintaan tinggi, termasuk ke lapangan terbang Sibu, pintu masuk utama ke tengah Sarawak.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back