PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapat situasi jangkitan virus Nipah di India dan menegaskan sebarang maklumat hanya disahkan melalui saluran rasmi, termasuk WHO dan pihak berkuasa antarabangsa.
KKM memaklumkan langkah kesiapsiagaan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan laut dan sempadan darat kekal aktif.
Selain itu pemantauan kesihatan, saringan pelancong berasaskan risiko, laluan rujukan bagi pengembara bergejala serta pasukan perubatan kecemasan disediakan mengikut protokol penyakit berjangkit sedia ada.
“Langkah kawalan kesihatan sempadan sentiasa dilaksanakan dan akan ditingkatkan berdasarkan penilaian risiko terkini,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Nipah ialah jangkitan zoonotik yang boleh menular daripada haiwan ke manusia atau manusia ke manusia, dengan simptom termasuk demam, sakit kepala, batuk dan kesukaran bernafas.
KKM menegaskan orang ramai dinasihatkan mengikuti maklumat rasmi sahaja dan tidak panik.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back