PUTRAJAYA - Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Daerah Kecil Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Indonesia pada Sabtu.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pengesahan dibuat berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa Indonesia.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pelajar dan rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terbabit, selain bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Indonesia dalam usaha mencari dan menyelamat.
“Kami merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menegaskan akan terus memantau situasi secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini jika perlu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di +62 813 8081 3036 atau emel mwjakarta@kln.gov.my.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back