KUCHING - Laluan bas elektrik Kuching Metro ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh kini diselaraskan semula bagi memastikan pelancong tiba tepat pada waktu sesi pemberian makanan Orang Utan, tarikan utama pusat hidupan liar itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penyesuaian jadual dan laluan dibuat berdasarkan maklum balas pelancong serta corak penggunaan sebelum ini.
Menurut beliau, jadual lama menyebabkan sebahagian bas kurang dimanfaatkan kerana pelancong tiba selepas sesi pemberian makanan berakhir.
“Tahun sebelumnya bas ini mempunyai laluan tersendiri dan masih digunakan, namun kita menyesuaikan semula masa perjalanan supaya selari dengan waktu pemberian makanan Orang Utan. Ini penting kerana tarikan utama pelancong ke Semenggoh adalah untuk menyaksikan sesi tersebut,” katanya ketika menghadiri percubaan laluan baharu bas elektrik di Kuching pada Ahad.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) kini menyediakan empat bas elektrik percuma untuk menyokong perkhidmatan ini. Selain Semenggoh, bas tersebut turut menawarkan laluan ke Kampung Budaya Sarawak di Damai, antara destinasi pelancongan utama negeri ini.
“Perkhidmatan bas elektrik ini adalah percuma dan kini memasuki tahun kelima pelaksanaan. Ia merupakan kemudahan yang disediakan bagi menyokong sektor pelancongan serta memudahkan pergerakan pelancong,” tambah beliau.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back