KAPIT - Kerajaan MADANI meneruskan komitmen memastikan bekalan elektrik 24 jam yang stabil di sekolah pedalaman Sarawak melalui Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik 2025–2027.
Projek di bawah Kementerian Kerja Raya itu melibatkan 121 sekolah luar bandar, menggantikan penggunaan janakuasa diesel mahal dan sukar diselenggara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penggunaan sistem solar hibrid mampu menjimatkan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80%, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Nanga Bangkit, Katibas, Song, hari ini.
Sehingga kini, 97 sekolah telah siap dan beroperasi sejak 2023, 15 lagi disiapkan pada November 2025, manakala baki sembilan sekolah dijadual siap secara berperingkat pada 2026–2027.
Projek tersebut juga menyokong tenaga hijau melalui penstoran bateri lithium dan sodium, sekaligus mengurangkan pelepasan karbon dan membuka peluang pembangunan kepakaran tempatan.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan hampir 2,000 guru, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi pembangunan luar bandar yang adil, inklusif, dan mampan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back