KUCHING – Tiga kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) ditahan kerana terlibat dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan skim palsu “BSN Takaful Makmur”.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menahan tiga daripada empat suspek yang terlibat dalam kes tersebut.
Katanya, kesemua suspek memperdaya pelabur dengan janji pulangan dividen 10% setahun, namun wang pelaburan digunakan untuk tujuan peribadi dan tidak dimasukkan ke akaun bank.
Setakat ini, sebanyak 100 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian mencecah RM14.34 juta.
Jelasnya, kejayaan itu membuktikan komitmen PDRM Sarawak dalam membanteras jenayah konvensional dan jenayah komersil yang semakin kompleks, melalui disiplin, integriti, kerjasama jabatan serta sokongan masyarakat.
Datuk Zainal berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back