KUCHING - Persiapan bagi penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026 kini berjalan lancar dengan semua venue pertandingan berada pada tahap kesiapsiagaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SUKSAR edisi keempat itu akan diadakan di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu serta melibatkan penyertaan atlet dari seluruh negeri.
Katanya, 11 jenis sukan akan dipertandingkan sepanjang temasya tersebut melibatkan 105 acara dalam empat zon iaitu Zon Utama melibatkan Limbang, Miri dan Bintulu; Zon Tengah meliputi Sibu, Mukah dan Kapit; Zon Barat membabitkan Sarikei, Betong dan Sri Aman; serta Zon Selatan merangkumi Serian, Samarahan dan Kuching.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat SUKSAR 2026 di pejabatnya di Kuching, hari ini.
Datuk Seri Abdul Karim berkata, empat acara akan dipertandingkan di Betong iaitu angkat berat, berbasikal, bola jaring dan taekwondo, manakala Sri Aman menganjurkan lima acara iaitu bola keranjang, petanque, ping pong, sofbol dan tinju.
Lubok Antu pula akan mempertandingkan dua acara iaitu sepak takraw dan karate.
Tambah beliau, SUKSAR bukan sahaja berperanan sebagai kejohanan sukan peringkat negeri, malah menjadi platform penting bagi membentuk pasukan terkuat Sarawak sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan di Selangor.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back