KUCHING - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak mencatatkan peningkatan ketara tangkapan berkaitan dadah pada tahun 2025 dengan 13,198 tangkapan direkodkan berbanding 10,396 tangkapan pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 2,808 tangkapan atau 27 peratus.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata daripada jumlah tangkapan tersebut, 3,644 individu dikenal pasti sebagai pengedar dadah, 2,415 memiliki dadah manakala 10,139 lagi merupakan penagih dadah.
Beliau menjelaskan bahawa nilai rampasan pelbagai jenis dadah dan racun sepanjang tahun 2025 berjumlah RM32.2 juta, sedikit menurun berbanding RM34 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan itu berlaku kerana kejayaan polis menuduh lebih ramai pengedar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman lebih berat.
Sepanjang tahun lalu, Datuk Zainal berkata pihaknya juga telah mengambil tindakan terhadap 293 penagih tegar di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara lima hingga tujuh tahun serta sebatan.
Dalam usaha melumpuhkan sumber kewangan pengedar dadah, PDRM Sarawak berjaya meningkatkan sitaan harta pengedar sebanyak 336 peratus, bersamaan RM17.9 juta berbanding RM4.1 juta pada tahun 2024.
Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Zainal menegaskan tahun ini, Polis Sarawak akan terus meningkatkan usaha membanteras jenayah berkaitan dadah dan telah membuka fail terhadap kumpulan-kumpulan atau sindiket dadah tertentu untuk tindakan.
Jelasnya, usaha itu bukan sahaja aktiviti dadah, tetapi lain-lain aktiviti haram yang melanggar undang-undang juga telah dikenal pasti dan sedang diusahakan untuk tindakan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back