KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan, termasuk menyalahgunakan kedudukan, menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta melakukan pecah amanah membabitkan dana RM3 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Mohd Nizam, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Tertuduh hadir ke mahkamah dengan bertongkat dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) ATM untuk meluluskan beberapa kontrak pembekalan barangan Hari Raya kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya, sekali gus menerima suapan ratusan ribu ringgit.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan pada Jun 2024.
Selain itu, Mohd Nizam turut berdepan pertuduhan pecah amanah selepas didakwa melaburkan RM3 juta dana TKAT tanpa kelulusan jawatankuasa berkaitan, serta satu pertuduhan menerima wang RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili Peguam Abdul Aziz Hamzah.
Jika sabit kesalahan, Mohd Nizam berdepan hukuman penjara, denda dan sebatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back