KINABATANGAN – Seramai 48,526 pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga kawasan DUN, iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut.
Daripada jumlah 48,526 pengundi bagi PRK Parlimen Kinabatangan itu, seramai 13,703 pengundi terlibat dalam PRK DUN Lamag.
Sebanyak 36 pusat mengundi melibatkan 117 saluran akan dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang.
Bagaimanapun, 25 pusat mengundi akan ditutup lebih awal, iaitu antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Warisan dan Bebas, manakala PRK DUN Lamag pula melibatkan saingan satu lawan satu antara BN dan Warisan.
Kempen PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kini memasuki hari terakhir dan akan berakhir pada jam 11.59 malam ini.
Sumber & Foto: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back