KUCHING - Kerajaan Sarawak mempergiat usaha membendung rabies melalui program vaksinasi anjing secara berperingkat di seluruh negeri, dengan sasaran 45,567 anjing peliharaan.
Program komprehensif ini dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, majlis tempatan dan klinik veterinar swasta, termasuk vaksinasi rumah ke rumah serta di kawasan sasaran.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, menekankan vaksinasi ini wajib di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, manakala pasukan penguatkuasaan DVS dan majlis tempatan memastikan pematuhan.
Sejak rabies dikesan pada 2017, Sarawak merekodkan 89 kes manusia dan program ini sebahagian daripada strategi kawalan jangkitan serta pengurusan populasi anjing, termasuk pelesenan dan peneuteran bersubsidi.
Dr Rundi menasihatkan pemilik haiwan peliharaan mematuhi arahan pihak berkuasa dan memastikan vaksinasi lengkap, bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah penularan semula rabies di Sarawak.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back