KUALA LUMPUR - Kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula sesi persekolahan 2027 bukan bertujuan mewujudkan perlumbaan akademik, sebaliknya memberi fokus kepada kebajikan, kesejahteraan dan tahap kesiapsiagaan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pelaksanaan dasar itu dibuat secara berhati-hati dan menyeluruh, dengan penilaian melibatkan aspek emosi, kognitif serta kemahiran pembelajaran, bukan semata-mata faktor umur.
Jelasnya, dasar ini bukan projek percubaan tetapi dasar nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, yang dilaksanakan secara berfasa, terkawal dan bersifat sukarela, dengan saringan diagnostik yang ketat.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan - Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Fadhlina lagi, hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia akan ditawarkan kemasukan awal, selain disokong bantuan emosi dan psikososial bagi memastikan penyesuaian yang baik di sekolah.
Tegasnya, laluan persekolahan pada usia tujuh tahun kekal, tanpa sebarang paksaan kepada ibu bapa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back