KUCHING – Pelbagai inisiatif strategik dirancang untuk dilaksanakan oleh SMD Semiconductor sepanjang suku pertama tahun ini.
Ia bertujuan memperkukuh momentum Sarawak dalam membangunkan ekosistem semikonduktor yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Dalam kenyataan semalam, SMD Semiconductor memaklumkan inisiatif awal tersebut menumpukan kepada tiga teras strategik utama iaitu pembangunan bakat, kerjasama antarabangsa dan penglibatan ekosistem.
Pelaksanaannya sekali gus menegaskan peranan syarikat itu sebagai platform penyampaian negeri dalam membina keupayaan industri semikonduktor.
Antara program utama yang dirancang termasuk Majlis Token of Completion bagi kohort pertama Program Penguasaan Reka Bentuk IC Digital Semikonduktor SMD–CENTEXS serta penyertaan dalam Asia Pacific Aerospace Conference and Exhibition (APACE) 2026 pada Januari ini.
Sementara itu, pada bulan Februari pula, kunjungan hormat delegasi University of Bristol, United Kingdom kepada Premier Sarawak akan diadakan, selain pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, University of Bristol dan Yayasan Sarawak, serta sesi libat urus University of Bristol bersama institusi pengajian tinggi, institusi teknikal dan agensi kerajaan.
Pada Mac, Sarawak akan terlibat dalam Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, program-program awal 2026 tersebut mencerminkan tumpuan syarikat terhadap pelaksanaan yang berkesan dengan menterjemahkan strategi kepada hasil yang nyata.
Dengan permulaan yang kukuh pada tahun 2026, SMD Semiconductor menzahirkan komitmen terhadap penyampaian yang berfokus, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab baharu bagi inovasi semikonduktor termaju dan teknologi tinggi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back