KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial atau digital kini diwajibkan mengisytiharkan semua bentuk pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), termasuk barangan percuma, hadiah dan manfaat lain yang diterima daripada aktiviti promosi.
Menurut garis panduan baharu LHDN, langkah ini bertujuan memastikan pematuhan cukai dijalankan dengan lebih jelas dan tersusun. Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk meminda atau membatalkan garis panduan tersebut bila-bila masa jika perlu.
LHDN menjelaskan pempengaruh merujuk kepada individu yang mampu mempengaruhi orang lain melalui platform digital, sama ada artis, atlet, pelajar, suri rumah atau watak berasaskan animasi dan rekaan.
Pendapatan mereka merangkumi bayaran daripada platform, duta produk, jualan barangan, royalti serta pelbagai bentuk penerimaan lain, termasuk tunai, barangan, baucar dan hadiah di media sosial.
Pempengaruh juga diwajibkan menyimpan rekod semua penerimaan dan perbelanjaan yang dibenarkan, seperti kos internet, penggambaran dan penyuntingan, bagi tujuan pengauditan selama tujuh tahun bermula dari akhir tahun borang cukai dikemukakan.
LHDN menegaskan bahawa pengurusan pendapatan secara telus dan rekod yang lengkap adalah penting bagi memastikan kerjaya pempengaruh diiktiraf dan cukai dikenakan secara adil.
Sumber: Media Selangor
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back