PUTRAJAYA - Mulai tahun ini, pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi secara rasmi diiktiraf sebagai pelajar pendidikan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi kini mengambil alih sepenuhnya sistem prauniversiti, sekali gus menamatkan status mereka sebagai pelajar sekolah.
Selain itu katanya, kerajaan turut menangani isu kekurangan peluang kemasukan ke kursus popular bagi pelajar cemerlang, termasuk kaum minoriti.
Berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini hari ini, Anwar berkata, sebanyak 1,500 tempat baharu akan ditambah dalam bidang undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan, ekonomi, komunikasi, media, sains data dan sains komputer.
Perdana Menteri menegaskan jaminan keutamaan turut diberikan kepada pelajar STPM berprestasi tinggi dengan PNGK 4.0, memastikan mereka mendapat tempat di universiti walaupun kursus pilihan terhad.
Jelasnya, langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara dan memastikan akses lebih adil kepada pelajar prauniversiti.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back